Friday, August 29, 2008

Roundabout di Shah Alam

Jika anda memandu di kawasan Shah Alam, atau anda memang tinggal di Shah Alam, anda akan menempuh banyak bulatan atau roundabout. (saya lebih selesa menggunakan perkataan roundabout). Menurut perkiraan saya, terdapat lebih kurang 18 buah roundabout di Shah Alam. 8 daripadanya amat sibuk dan berbahaya. Ada yang besar, yang lonjong, yang sederhana besar dan yang kecil pun ada. Ada yang dihias cantik dan ada juga yang tidak dihias langsung.
Sistem roundabout tidak lagi sesuai di Shah Alam sekarang ini kerana jumlah kenderaan yang bertambah berkali ganda terutama ketika pagi dan petang. Sistem roundabout wajar diganti dengan simpang empat berlampu isyarat yang telah terbukti lebih selamat, lalulintas yang lebih teratur dan lebih selesa.
Roundabout adalah jalan raya yang tidak bersistem, tidak selesa, mengelirukan dan amat berbahaya walaupun kepada pemandu/penunggang yang berpengalaman memandu berbelas tahun. Risiko terjadinya kemalangan amat besar walaupun dengan kesilapan atau kecuaian yang amat kecil. Pemandu dan penunggang harus melipatgandakan tumpuan kepada pemanduan apabila berada di roundabout.
Saya melihat banyak kejadian kemalangan di roundabout amat susah dan rumit untuk diadili siapa salah dan siapa benar kerana apabila kita berada di dalam roundabout, adakalanya kita terpaksa menukar lorong bergantung kepada dari mana kita datang dan ke arah mana destinasi kita.
Bandaraya Shah Alam pada hari ini jauh berbeza berbanding pada tahun 80an. Pada masa itu keadaan lalulintas amat lengang ditambah dengan keluasan jalanraya dua lorong pada masa itu, sudah dianggap terlalu besar dan selesa. Apabila Shah Alam terus membangun, penduduk mula ramai, jalanraya semakin sibuk, walaubagaimanapun jalanraya dua lorong sedia ada masih boleh menampung pertambahan kenderaan. Masalah mula timbul apabila menghampiri roundabout. Kenderaan akan bersesak-sesak dan berebut-rebut di dalam roundabout mencari haluan masing-masing. Sedikit kecuaian, sedikit kesilapan boleh menyebabkan kemalangan. Apabila kemalangan terjadi walaupun kecil akan mengakibatkan perbalahan dan akhirnya kerugian ratusan malah kadang-kadang ribuan ringgit. Inilah yang sepatutnya dielakkan.
Jika roundabout-roundabout itu diganti dengan simpang empat, lalulintas akan lebih teratur, bersistem, lebih selamat dan selesa dan yang pastinya tiada lagi kes-kes kemalangan akan dilaporkan.
Saya amat berharap pihak-pihak yang berkuasa di Shah Alam khususnya MBSA dan Polis dapat mengambil perhatian serius tentang isu ini. Sesuatu tindakan mesti dilakukan. Kita tak mahu hanya pemandu sahaja yang dipersalahkan sedangkan ada lagi faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kejadian kemalangan.

No comments: