Sunday, August 24, 2008

Pakai jaket terbalik

Di mana-manapun di kawasan KL, (kawasan lain saya tak pasti) kita akan dapati ramai penunggang motor memakai jaket secara terbalik. Ada yang memakainya sampai paras bahu dan sesetengahnya sampai paras siku saja.
Kalaulah anda perasan, cara pemakaian ini sebenarnya telah diamalkan oleh ramai penunggang motor sejak saya mendapat lesen lagi iaitu 23 tahun lalu. Tidaklah saya ketahui bila bermulanya trend ini.
Pada waktu itu saya juga terikut-ikut dengan cara pemakaian tersebut tapi telah meninggalkan amalan itu tidak berapa lama kemudian. Kalaulah ditanya apakah tujuan dan mengapa jaket itu dipakai terbalik, saya sendiri tidak dapat menjawabnya. Hanya mengikut saja apa yang orang lain buat.
Seorang rakan saya kata, pakai jaket terbalik ni senang nak pakai, ringkas, cuma sarung je, start motor terus jalan. Lagipun nak elakkan tangan jadi hitam di tengah panas terik.
Itu saja alasannya.
Tahukah wahai penunggang-penunggang motor semua, kalau anda memakai jaket secara terbalik, anda membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bagaimana caranya ?
Semasa anda menunggang, jaket yang tidak dipakai sempurna itu akan berkibar-kibar di kiri kanan. dan sudah menjadi kebiasaan kita menunggang sebelah-menyebelah dengan jarak yang amat dekat atau kadang-kadang mencelah-celah di antara kereta. Dikhuatiri hujung jaket yang berkibar-kibar itu tersangkut di hendal motor sebelah atau di side mirror kereta, selain itu kemungkinan hujung jaket yang terjuntai boleh juga tersangkut di motor sendiri contohnya di celah-celah roda atau di rantai motor yang sedang bergerak.
Rakan saya memberitahu, pernah sekali baju hujan labuhnya yang dipakai terbalik telah tersepit di rantai semasa motor sedang bergerak. Mujurlah baju hujan tu nipis dan terkoyak di dalam rantai motornya. Bayangkan jika baju hujan tu jenis tebal dan tidak terkoyak, sudah pastilah ia akan menarik sekali penunggangnya dan kemalangan pasti berlaku.
Wahai penunggang motor sekalian, hindarilah kemalangan. Pakailah jaket anda dengan sempurna. Jangan ditambah lagi statistik kemalangan melibatkan motosikal. Ingatlah dan kasihanilah orang tersayang yang menanti di rumah.
Nak ringkas dan nak cepat tu boleh, tapi tidak jika nak pakai jaket secara terbalik.

No comments: