Friday, August 29, 2008

Roundabout di Shah Alam

Jika anda memandu di kawasan Shah Alam, atau anda memang tinggal di Shah Alam, anda akan menempuh banyak bulatan atau roundabout. (saya lebih selesa menggunakan perkataan roundabout). Menurut perkiraan saya, terdapat lebih kurang 18 buah roundabout di Shah Alam. 8 daripadanya amat sibuk dan berbahaya. Ada yang besar, yang lonjong, yang sederhana besar dan yang kecil pun ada. Ada yang dihias cantik dan ada juga yang tidak dihias langsung.
Sistem roundabout tidak lagi sesuai di Shah Alam sekarang ini kerana jumlah kenderaan yang bertambah berkali ganda terutama ketika pagi dan petang. Sistem roundabout wajar diganti dengan simpang empat berlampu isyarat yang telah terbukti lebih selamat, lalulintas yang lebih teratur dan lebih selesa.
Roundabout adalah jalan raya yang tidak bersistem, tidak selesa, mengelirukan dan amat berbahaya walaupun kepada pemandu/penunggang yang berpengalaman memandu berbelas tahun. Risiko terjadinya kemalangan amat besar walaupun dengan kesilapan atau kecuaian yang amat kecil. Pemandu dan penunggang harus melipatgandakan tumpuan kepada pemanduan apabila berada di roundabout.
Saya melihat banyak kejadian kemalangan di roundabout amat susah dan rumit untuk diadili siapa salah dan siapa benar kerana apabila kita berada di dalam roundabout, adakalanya kita terpaksa menukar lorong bergantung kepada dari mana kita datang dan ke arah mana destinasi kita.
Bandaraya Shah Alam pada hari ini jauh berbeza berbanding pada tahun 80an. Pada masa itu keadaan lalulintas amat lengang ditambah dengan keluasan jalanraya dua lorong pada masa itu, sudah dianggap terlalu besar dan selesa. Apabila Shah Alam terus membangun, penduduk mula ramai, jalanraya semakin sibuk, walaubagaimanapun jalanraya dua lorong sedia ada masih boleh menampung pertambahan kenderaan. Masalah mula timbul apabila menghampiri roundabout. Kenderaan akan bersesak-sesak dan berebut-rebut di dalam roundabout mencari haluan masing-masing. Sedikit kecuaian, sedikit kesilapan boleh menyebabkan kemalangan. Apabila kemalangan terjadi walaupun kecil akan mengakibatkan perbalahan dan akhirnya kerugian ratusan malah kadang-kadang ribuan ringgit. Inilah yang sepatutnya dielakkan.
Jika roundabout-roundabout itu diganti dengan simpang empat, lalulintas akan lebih teratur, bersistem, lebih selamat dan selesa dan yang pastinya tiada lagi kes-kes kemalangan akan dilaporkan.
Saya amat berharap pihak-pihak yang berkuasa di Shah Alam khususnya MBSA dan Polis dapat mengambil perhatian serius tentang isu ini. Sesuatu tindakan mesti dilakukan. Kita tak mahu hanya pemandu sahaja yang dipersalahkan sedangkan ada lagi faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kejadian kemalangan.

Sunday, August 24, 2008

Pakai jaket terbalik

Di mana-manapun di kawasan KL, (kawasan lain saya tak pasti) kita akan dapati ramai penunggang motor memakai jaket secara terbalik. Ada yang memakainya sampai paras bahu dan sesetengahnya sampai paras siku saja.
Kalaulah anda perasan, cara pemakaian ini sebenarnya telah diamalkan oleh ramai penunggang motor sejak saya mendapat lesen lagi iaitu 23 tahun lalu. Tidaklah saya ketahui bila bermulanya trend ini.
Pada waktu itu saya juga terikut-ikut dengan cara pemakaian tersebut tapi telah meninggalkan amalan itu tidak berapa lama kemudian. Kalaulah ditanya apakah tujuan dan mengapa jaket itu dipakai terbalik, saya sendiri tidak dapat menjawabnya. Hanya mengikut saja apa yang orang lain buat.
Seorang rakan saya kata, pakai jaket terbalik ni senang nak pakai, ringkas, cuma sarung je, start motor terus jalan. Lagipun nak elakkan tangan jadi hitam di tengah panas terik.
Itu saja alasannya.
Tahukah wahai penunggang-penunggang motor semua, kalau anda memakai jaket secara terbalik, anda membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bagaimana caranya ?
Semasa anda menunggang, jaket yang tidak dipakai sempurna itu akan berkibar-kibar di kiri kanan. dan sudah menjadi kebiasaan kita menunggang sebelah-menyebelah dengan jarak yang amat dekat atau kadang-kadang mencelah-celah di antara kereta. Dikhuatiri hujung jaket yang berkibar-kibar itu tersangkut di hendal motor sebelah atau di side mirror kereta, selain itu kemungkinan hujung jaket yang terjuntai boleh juga tersangkut di motor sendiri contohnya di celah-celah roda atau di rantai motor yang sedang bergerak.
Rakan saya memberitahu, pernah sekali baju hujan labuhnya yang dipakai terbalik telah tersepit di rantai semasa motor sedang bergerak. Mujurlah baju hujan tu nipis dan terkoyak di dalam rantai motornya. Bayangkan jika baju hujan tu jenis tebal dan tidak terkoyak, sudah pastilah ia akan menarik sekali penunggangnya dan kemalangan pasti berlaku.
Wahai penunggang motor sekalian, hindarilah kemalangan. Pakailah jaket anda dengan sempurna. Jangan ditambah lagi statistik kemalangan melibatkan motosikal. Ingatlah dan kasihanilah orang tersayang yang menanti di rumah.
Nak ringkas dan nak cepat tu boleh, tapi tidak jika nak pakai jaket secara terbalik.

Friday, August 8, 2008

Menaip SMS sambil memandu/menunggang motosikal

Kebelakangan ini saya sering terserempak dengan pemandu dan penunggang motor menaip sms sambil memandu atau menunggang motor. Ada yang sedang memandu laju, semasa kereta bergerak perlahan di kesesakan, di lampu trafik semasa menunggu lampu bertukar hijau dan ada juga yang menaip semasa mencelah-celah di antara kereta. Ini lebih berbahaya jika dibandingkan dengan tak pakai handsfree kerana tumpuan kepada pemanduan akan terlalu sedikit. Jari menekan keypad, otak memikirkan ayat yang nak ditaip, mata pulak sekejap pandang depan sekejap pandang skrin telefon. Kalau begini caranya sudah tentu tumpuan akan terjejas dan kemalangan dengan mudah berlaku.

Saya ada menyuarakan isu ini kepada kawan sekerja semasa duduk minum. Dia memang kaki berSMS. Inilah jawapannya, "biasalah tu, aku selalu buat macam tu, tapi aku taip tak pandang skrin sebab aku dah hafal keypad tu, sesekali je tengok skrin tu betul ke tidak ejaan dan ayatnya. Kadang-kadang tu siap berbalas-balas lagi"

Saya tanya lagi,tak bahaya ke dan tak pernah jadi apa-apa ke. Dia jawab dengan yakin " setakat ni takdelah, harap-harap tak jadi apa-apa ."

Anda bagaimana ? Macam kawan saya tu jugak ke ? Harap-harap takle. Kalau tanya saya, jawapannya saya memang tak berapa suka berSMS. Biasanya saya akan selesa bercakap terus. SMS bila perlu je.

Biasanya bila memandu tangan kita akan memegang stering, cuma sesekali tangan tu dilepaskan untuk menukar gear atau menukar channel radio. Mata pulak pandang ke depan cuma sesekali menoleh ke kiri kanan dan kadang kadang menjeling ke cermin pandang untuk melihat keadaan di belakang.